JANUARI 2024

Lawatan Kerja Premier Sarawak Ke Projek Penempatan Sungai Bedaun


KUCHING, 6 Jan - Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Penempatan Sungai Bedaun, Jalan Sultan Tengah di sini, hari ini.

Projek ini merupakan sebahagian daripada Projek Pembangunan Darul Hana dengan Pakej 1 yang menyediakan 209 unit rumah, dijangka siap sepenuhnya pada suku pertama tahun ini.

Abang Johari menjelaskan bahawa projek tersebut bertujuan memberikan penempatan kepada keluarga tambahan dari ketiga-tiga kampung yang terbabit iaitu Kampung Panglima Seman Lama, Kampung Semarang dan Kampung Pulo Ulu.

"Sebanyak 126 keluarga akan berpindah dahulu, dan mereka akan berpindah mengikut fasa-fasa dan mengikut tahap pembangunan perumahan di kedua-dua kawasan ini. Bagi fasa kedua Sebanyak 217 unit rumah akan dibangunkan," katanya dalam sidang media selepas lawatan tersebut. 

Menurut beliau, harga rumah tersebut berbeza mengikut keluasan, rumah 750 kaki persegi berharga RM99,500, manakala rumah 850 kaki persegi dijual pada harga RM120,000. 

Abang Johari menyatakan, "Pembeli akan diberi deposit sebanyak RM10,000 oleh Kerajaan Sarawak, dan baki pembiayaan boleh dilakukan melalui pinjaman Mutiara Mortgage."

Turut hadir dalam lawatan tersebut adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Mohamed Khaidir Abang, serta Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak Datu Abdullah Julaihi.

Sumber dari : Sarawakku